
Isu Amirulhadi yang dikhabarkan
menandatangani dua kontrak bersama Pasukan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ)
dan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) akhirnya terjawab apabila
Jawatankuasa Status Persatuan Bolasepak Malaysia memutuskan bahawa perpindahan Amirulhadi ke pasukan Johor Darul Takzim (JDT) adalah sah.
Setelah meneliti dokumen dan keterangan
daripada kedua-dua belah pihak, Jawatankuasa Status FAM berpuas hati
dengan penjelasan yang dikemukan.
Menurut Datuk Takiyuddin Hassan,
Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, kontrak yang telah ditandatangani
oleh Amirulhadi bersama Pahang didapati meragukan.
“Kami mendapati kontrak Amirulhadi
dengan PBNP pada pandangan kami meragukan. Oleh itu, kami menganggap
kontrak itu tidak sah,” jelas Takiyuddin.
Beliau menambah, Amirulhadi juga turut
akan didenda sebanyak RM25,000 kerana didapati bersalah atas dua
kesalahan. Kesalahan yang dilakukan oleh Amirulhadi ialah tidak
mendedahkan keadaan sebenar kepada pasukan JDT berkenaan kontrak yang
telah ditandatangani dengan Pahang, selain tidak membuat pengesahan
dengan Pahang berkenaan kontrak tersebut.
FAM menjatuhkan keputusan denda tersebut
berdasarkan Artikel 2, perenggan 5 (c) (i) dalam lampiran 3 A Peraturan
Status Dan Perpindahan FAM.
Pihak yang ingin membuat rayuan, boleh berbuat demikian dalam tempoh 3 hari waktu bekerja.
Baru-baru ini, Amirulhadi yang
dilaporkan baru mengikat kontrak selama 2 tahun bersama pasukan Pahang
mengejutkan semua pihak apabila membuat kemunculan pada sesi pengenalan
terbaru skuad JDT yang diadakan di Stadium Larkin.
No comments:
Post a Comment