
JOHOR BAHRU - Perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga FAM, Melaka di Stadium Larkin, kelmarin disifatkan sebagai eksperimen yang baik bagi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum mengharungi musim baharu Liga Super 2014.
Pembantu jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata, para pemain JDT mempamerkan aksi yang berkualiti dan mengawal permainan dengan baik serta memenangi perlawanan 4-1.
"Hampir keseluruhan pemain simpanan dimasukkan pada separuh masa kedua bagi menguji formasi pasukan dan membentuk keserasian di atas padang.
"Saya berharap para pemain dapat mempamerkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan persahabatan menentang kelab dari Liga Super Indonesia, Pelita Bandung Raya, Selasa ini," katanya selepas perlawanan.
Ditanya tentang persiapan pasukan musim baharu, Ismail memberitahu, para pemain perlu bersikap positif dan mempamerkan permainan yang lebih baik.
"Kita mempunyai ramai pilihan pemain yang baik di setiap posisi. Jadi, mereka perlu buktikan kemampuan dan bersaing bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama," katanya.
Dalam perlawanan menentang Melaka yang didominasi JDT itu, ayam tambatan importnya, Pablo Aimar membuktikan sentuhan berbisa dengan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-28 menerusi sepakan percuma.
Seorang lagi pemain importnya, Luciano Figueroa menambah jaringan pada minit ke-37, namun sejurus separuh masa kedua bermula, Mohd. Yusri Abas merapatkan kedudukan untuk Melaka pada minit ke-46 menerusi tandukan lambung menewaskan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi.
Safee Sali yang dimasukkan pada separuh masa kedua pula menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 dan menambah satu lagi jaringan gol pada minit ke-90 menjadikan kedudukan 4-1 sehingga tamat perlawanan.
No comments:
Post a Comment