
TRANSFORMASI yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dalam usaha meningkatkan pembangunan sukan bola sepak di negeri tersebut wajar menjadi contoh kepada persatuan bola sepak negeri yang lain.
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengakui usaha dilakukan PBNJ sejak setahun lalu, berjaya mengangkat kembali martabat bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Katanya, pertemuan beliau dengan Presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berlangsung di Istana Pasir Pelangi pada 18 Disember lalu bagi membincangkan hal berkaitan bola sepak ternyata beri impak yang cukup positif.
“Saya menyatakan kekaguman di atas apa yang sedang diusahakan Tunku Mahkota Johor (TMJ) ketika ini. Kita (Kafa) di Kelantan telah melakukan banyak usaha tetapi saya berdepan banyak kekurangan tapi saya nampak JDT layak jadi negeri contoh.
“Bagaimana keinginan TMJ (memajukan bola sepak) sama juga seperti saya tetapi mereka (PBNJ) mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan, syarikat swasta dan masyarakat. Itu membolehkan PBNJ mempunyai satu rancangan cukup menarik dan wajar diikuti negeri lain,” katanya, semalam.
Annuar jelas tertarik dengan pembangunan prasarana dilakukan PBNJ dengan menaik taraf kemudahan di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin, bagi memenuhi standard bola sepak dunia.
“Di Kelantan, kita sendiri pun tak ada padang latihan rasmi. Hanya sekali sekala menyewa padang stadium (Stadium Sultan Muhammad IV), itu pun masih tidak memenuhi piawaian bola sepak antarabangsa.
“Lihatlah (kecanggihan) bilik persalinan, bilik ujian anti-doping, bilik sidang media dan terbaharu saya difahamkan Johor akan memperbaharui keseluruhan stadium mereka agar menjadi stadium pertama di negara kita sebagai mesra bola sepak,” katanya.
Menurutnya, beliau akan mengesyorkan kepada TMJ bagi membolehkan satu kerjasama diwujudkan antara Kafa dengan PBNJ termasuk menganjurkan seminar pengurusan dan pentadbiran bola sepak melibatkan kedua-dua pihak.
“Saya telah minta satu firma yang terlibat dalam pengurusan sukan untuk bekerjasama dengan dengan JDT dan saya akan sembahkan kertas kerja kepada TMJ,” katanya.
No comments:
Post a Comment